Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyasaran subsidi diesel adalah untuk menyelamatkan negara dipersoal kepimpinan Pas.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika Anwar menjadi pembangkang sering menabur janji untuk menurunkan harga bahan api tersebut tetapi sebaliknya apabila memegang tampuk Putrajaya.

“Jika hari ini beliau menyatakan bahawa penghapusan subsidi minyak adalah demi menyelamatkan negara, adakah beliau mengakui bahawa ucapan beliau sebelum ini ketika menjadi pembangkang yang menentang penghapusan subsidi minyak, berniat untuk merosakkan negara?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Anwar selaku Perdana Menteri seperti biasa terus menerus menyalahkan pihak yang mempersoalkan penyasaran subsidi minyak.

“Sepatutnya kerajaan perlu terus mempertingkatkan lagi penguatkuasaan bagi membendung penyeludupan ini, bukan dengan cara menghapuskan subsidi,” ujarnya.

Hari ini, Anwar berkata, tidak wajar untuk pihak tertentu mengaitkan langkah penyasaran subsidi diesel dengan ucapan beliau ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 16 tahun lalu.

Anwar berkata, rakaman video yang menyebut “saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun” sengaja dimainkan semula untuk mengelirukan rakyat, sedangkan harga minyak ketika itu jauh berbeza dengan sekarang.

Jelasnya, pada ketika itu, harga minyak negara lebih tinggi berbanding negara-negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi. -MalaysiaGazette