Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menahan reman seorang penjawat awam dan seorang individu kerana disyaki terlibat memperoleh suapan bernilai kira-kira RM 80,000 daripada sebuah syarikat pembalakan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menahan reman seorang penjawat awam dan seorang individu kerana disyaki terlibat memperoleh suapan bernilai kira-kira RM 80,000 daripada sebuah syarikat pembalakan di negeri tersebut.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30 hingga 40-an telah ditahan kira-kira 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.

Susulan penahanan itu, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pagi tadi dan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 16 Jun 2024 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki terlibat memperoleh suapan daripada sebuah syarikat pembalakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran surat pembaharuan lesen pembalakan hutan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Tuan Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 28 (1) (c) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette