Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Notis kekosongan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahlian akan diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam minggu ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, pihaknya akan memaklumkan terlebih dahulu perkara berkenaan kepada ketujuh-tujuh wakil rakyat yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Kita akan memaklumkan kepada Speaker Parlimen dan DUN Selangor serta Kelantan mengenai dalam masa terdekat minggu ini.

“Ia dibuat setelah kita mendapat nasihat peguam dan meneliti proses undang-undang Bersatu dan undang-undang anti lompat parti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN, malam tadi.

Hadir sama adalah dua Timbalan Pengerusi PN, iaitu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S.P. Punithan.

Muhyiddin turut berkata, sebelum menghantar notis itu, pihaknya telah melakukan beberapa proses bagi memastikannya ia mengikut undang-undang parti dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita kena berhati-hati sebab ada proses dan prosedur lengkap dengan laporan. Kita tidak mahu gopoh dan ambil masa susun strategi kita dan tidak mahu atas dasar teknikal mereka akan kata tindakan ini tidak berperaturan dan kita yakin langkah yang diambil adalah betul,” katanya lagi.

Sebelum ini, Bersatu memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.

Antaranya enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selain itu Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Kelantan dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari. – MalaysiaGazette