Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyatnya yang melakukan ketidakpatuhan di Bawah Fasal 10.3 Perlembagaan parti itu hari ini.

Ia selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan setelah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat Selasa malam.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bagi kes membabitkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut fasal 10.2.6 Perlembagaan parti.

Kataya, notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar pada 17 Mei 2024.

“Kesemua proses ini telah dilakukan dengan menepati lunas Perlembagaan parti dan perundangan negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, pihaknya akan menghantar notis kepada enam Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam masa terdekat berhubung status keahlian serta kedudukan kerusi yang disandang mereka ketika ini.

Artikel berkaitan: Bersatu serah notis kekosongan 7 kerusi minggu ini

Beliau berkata, pihaknya juga akan menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Kelantan berhubung kedudukan kesemua wakil rakyat itu.

Enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari. – MalaysiaGazette