Gambar hiasan

KOTA BHARU – Sejumlah 8,900 hektar sawah padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terjejas akibat cuaca panas sejak Mac lepas dengan anggaran kerugian bernilai RM58 juta.

Pengerusinya, Muhammad Husain berkata menurut Jawatankuasa Penilaian Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat KADA melaporkan keluasan itu membabitkan seramai 3,587 pesawah di jajahan Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat dan Kota Bharu.

“KADA memandang serius perkara ini dan telah membentangkan satu laporan serta cadangan bantuan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad berkata, KADA juga komited dan berusaha untuk mencari solusi terbaik bagi membantu pesawah yang menghadapi kerugian serta berharap bantuan yang dimohon mendapat kelulusan pihak kementerian.

“KADA juga mengalu-alukan sebarang usaha dan bantuan daripada mana-mana pihak terutamanya kerajaan negeri dan Persekutuan untuk sama-sama meringankan beban ditanggung petani dan pesawah,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini juga turut mengumumkan dua insentif khas bagi pesawah iaitu insentif pembajakan dinaikkan daripada RM100 kepada RM160 dan insentif penuaian padi pada kadar RM50 sehektar setiap musim.

“Menerusi dua insentif ini, seramai 7,439 pesawah seliaan KADA akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 sehektar untuk semusim,” katanya. – Bernama