Monday, July 22, 2024
Home Utama Pendirian UMNO sama dengan PM dalam penjualan saham MAHB

Pendirian UMNO sama dengan PM dalam penjualan saham MAHB

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi bercakap pada media selepas merasmikan Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO memiliki pendirian sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat pro-Israel, BlackRock, kata Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan yang membantah penjualan sebahagian saham itu adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili parti itu.

Tegasnya, isu tersebut telah dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum diperincikan pada pra taklimat Kerajaan Perpaduan semalam sempena sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bermula hari ini.

“Pendirian UMNO jelas sama dengan pendirian yang dibuat oleh PM. Pendapat yang berikan oleh Tok Mat adalah pendapat peribadi beliau, saya telah jumpa beliau malam tadi dan beliau menyatakan itu hanya pandangan peribadi beliau bukan pendirian UMNO secara rasmi.

“Ada dibawa dan dibincangkan (dalam mesyuarat jemaah menteri) tapi tidak terperinci seperti semalam apabila pre council dibuat kepada seluruh Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara serta Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi bercakap pada media selepas merasmikan Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 24 JUN 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Karisma Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM seluruh Malaysia di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau diminta mengulas desakan beberapa pemimpin utama UMNO termasuk Mohamad yang mendesak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam MAHB kepada BlackRock.

Kata Mohamad yang juga Menteri Luar semalam, keputusan berkenaan tidak dibuat melalui Kabinet, namun masih mengharapkan ia dikaji semula.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO turut membantah penjualan saham 30 peratus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel iaitu Blackrock melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun entiti tempatan seperti Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mempunyai pegangan 70 peratus namun pegangan konsortium didominasi GIP.

Jumaat lalu, Anwar Imenyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB sebagai isu politik.

Jelas Anwar, sebagai perdana menteri, beliau akan melakukan segala yang termampu bagi membawa suara rakyat Palestin namun dalam masa yang sama, tidak boleh mengambil tindakan yang akan melemahkan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi hadir ke Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 24 JUN 2024.
Beliau mengulas kritikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis yang mempersoalkan hasrat MAHB menjual 30 peratus saham mereka kepada BlackRock yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam Malaysia Airports MAHB.
Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.
Pada masa sama, GIP menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).
Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dah boleh agak dah…ni Zahid Hamidi ni baruah PMX..cuba ko buat pungutan suara berapa ramai Ahli UMNO yg sokong jual aset strategik negara kepada pembunuh rakyat Palestin…ko ni musibat paling besar dlm UMNO

Comments are closed.