Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan mengenai RCI Batu Puteh di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 2024

PUTRAJAYA – Hampir dua jam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diambil keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, di sini, pagi ini.

Dr Mahathir berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya di Jabatan Perdana Menteri itu sambil menyifatkan proses itu sebagai rahsia.

“Saya tak boleh cakap apa-apa. Saya akan jumpa press sebab saya nak buat penjelasan berkenaan dengan pemikiran saya, apa yang berlaku di sini rahsia,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan BHEUU JPN, di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir yang memakai kemeja putih dengan suite kelabu menaiki kenderaan jenis Mercedes berwarna biru gelap tiba di pekarangan lobi BHEUU JPM kira-kira jam 10.46 pagi tadi.

Bagaimanapun Dr Mahathir kelihatan meninggalkan BHEUU kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Dr Mahathir juga sempat memaklumkan beliau akan mengadakan sidang media mengenai kehadiran beliau memberi keterangan kepada RCI di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, jam 3 petang nanti

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 5 Jun lalu supaya prosiding RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Bekas Perdana Menteri itu dalam afidavit sokongan berkata keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.

Dalam permohonan itu. Dr Mahathir menamakan pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Dr Mahathir juga memohon perintah bagi melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here