Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 2024

PUTRAJAYA – Datuk Seri Sanusi Mohamad Nor disifatkan telah mengeluarkan kenyatan mirip hasutan dan rasis berhubung agihan air di Pulau Pinang.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mendakwa, Menteri Besar Kedah itu sering kali bercakap tanpa fakta dan berbohong.

“Itu mirip kenyataan hasutan dan juga bersifat rasis, beliau sering kali tidak bercakap dengan fakta, buka mulut sahaja bohong.

“Ini sikap tidak baik bagi seorang Menteri Besar, tidak patut beliau berkelakuan seperti itu,” katanya pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Sanusi bahawa kerajaan Pulau Pinang bersikap pilih kasih dalam menangani masalah air dengan menyatakan bahawa tindakan pentadbiran pimpinan DAP itu bermotifkan perkauman.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, di atas pentas ceramah Sanusi boleh berucap di khalayak bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menang dengan hanya memperoleh majoriti 100 undi .

Bagaimanapun, menerusi carian di Google fakta menunjukkan dengan pantas bahawa kemenangan Fadhlina adalah dengan majoriti 16,000 undi.

“Jadi kalau dalam perkara asas seperti ini beliau gagal, apatah lagi menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Beliau banyak mengumumkan projek-projek swasta dan apabila projek-projek ini tidak berjalan, beliau berkata, ini bukan masalah dia. Dia adalah seorang yang sangat bermasalah,” ujarnya. – MalaysiaGazette