Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengarahkan institusi-institusi perbankan yang terlibat untuk menyiasat punca insiden gangguan perkhidmatan dalam talian yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu perlu bagi memastikan isu gangguan tersebut tidak berulang dan memastikan institusi-institusi perbankan menetapkan langkah pembetulan kepada isu berkenaan.

“BNM turut membuat pemantauan rapi untuk memastikan institusi perbankan yang terlibat memulihkan perkhidmatan perbankan seperti biasa secepat mungkin bergantung kepada penilaian ke atas punca utama dan impak utama gangguan yang dikemukakan.

“BNM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan di bawah akta-akta berkenaan termasuk mengenakan penyeliaan dan penalti ke atas pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah seliaan BNM.

“BNM akan terus memantau serta memastikan piawaian penuh seperti yang ditetapkan dalam dokumen dasar,” katanya pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai pandangan kerajaan terhadap kekerapan gangguan perkhidmatan dalam talian oleh institusi perbankan dan sejauh mana kesediaan kerajaan untuk mengenakan penalti susulan prestasi perkhidmatan perbankan yang kerap tergendala sehingga menyusahkan para pengguna.

Dalam pada itu, Hui Ying turut mengarahkan agar BNM berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan yang disebabkan gangguan tersebut.

Hui Ying (PH-Tanjong) menambah, dokumen dasar mengenai pengurusan risiko dalam teknologi telah menetapkan keperluan institusi kewangan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kewangan dengan cekap dan selamat, sekali gus menjamin keyakinan awam terhadap sistem kewangan.

Jelas beliau, BNM mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Perkhidmatan Keselamatan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mengenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan terhadap institusi kewangan yang didapati tidak patuh kepada mana-mana peruntukan dalam dokumen dasar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast