Keluarga ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin datang memberi sokongan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini.

PETALING JAYA – “Insya Allah, kami sekeluarga kuat untuk esok,” kata datuk kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh pada Disember tahun lalu.

Zahari Mohd Reba, 56, yang juga bapa serta mertua kepada pasangan kanak-kanak malang itu berkata, keluarganya akan sentiasa memberikan sokongan kepada mereka.

“Alhamdulilah,(prosiding rekod keterengan) hari ini sudah selesai. Kami serahkan pada peguam.

“Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan dan kami akan datang esok untuk kes ini,” katanya pada pemberita di perkarangan mahkamah di sini hari ini.

Terdahulu, polis membawa ibu kepada Zayn Rayyan ke Mahkamah Majistret di sini bagi merekod keterangan bersalah mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam yang mewakili pasangan terbabit yang kini orang yang di siasat (OYDS) iaitu Fahmi Abdul Moin dan Mahmud Jumaat membantah prosiding tersebut.

Dalam pada itu, kakak kepada ibu Zayn Rayyan yang enggan dikenali berkata, keluarga berharap akan ada berita gembira berhubung kes yang dihadapi adiknya.

Wanita terbabit turut memaklumkan, dia akan hadir ke mahkamah bagi memberikan sokongan kepada adik bongsunya itu daripada tujuh beradik.

“Kami berharap untuk esok, kita sama-sama tunggulah (dituduh atau dilepaskan). Alhamdulilah (tiada pengakuan) untuk (prosiding rakam keterangan). Insyallah satu Malaysia akan gembira,” ujarnya.

Ibu kepada Zayn Rayyan yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan tiba di mahkamah sekitar jam 10.20 pagi dengan menaiki sebuah van polis tanpa logo.

Wanita berusia 29 tahun itu dikawal ketat anggota polis dengan bergari sebelum dibawa masuk ke lobi mahkamah.

Pada 7 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Aparment Idaman, Damansara Damai sekitar jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here