Mayat lelaki Indonesia dibawa oleh anggota bomba selepas ditemui penduduk kampung.

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui lemas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 4.5 batu nautika tenggara Kampung Inderasabah di Tawau pada pukul 9.56 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi)nya, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, APMM Zon Maritim Tawau menerima aduan melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) berkaitan kejadian tersebut pada jam 3.01 petang semalam.

Susulan itu Operasi CARILAMAT diaktifkan jam 3.30 petang selepas bot mangsa ditemui tanpa pengendali di perairan Pulau Buatan oleh penduduk setempat.

“Berdasarkan laporan pengadu, mangsa dikenali sebagai Ibnu Hajar Mustamar berumur 33 tahun telah keluar berseorangan menaiki bot untuk menjalankan rutin harian sebagai pemungut ikan bilis di Bagang.

“Kali terakhir mangsa dilihat mengenakan pakaian berwarna hitam atau ungu gelap dan berseluar serba hitam.

“Mayat mangsa telah dijumpai oleh penduduk setempat itu seterusnya dibawa oleh pasukan CARILAMAT ke Jeti Awam Kampung Inderasabah untuk pengecaman dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, lima buah aset telah diatur gerak pada hari pertama OP CARILAMAT membabitkan kira-kira 60 anggota dengan keluasan kawasan pencarian sehingga 101 batu nautika persegi.

“Pos Hadapan Carilamat (PHC) telah dibuka di Kampung Inderasabah bagi menyelaraskan Ops Carilamat.

Ia melibatkan aset dari Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam sambil dibantu oleh penduduk setempat,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ops CARILAMAT yang diselaraskan oleh MRSC Kota Kinabalu telah ditamatkan pada jam 11.00 pagi tadi setelah hari kedua pencarian mangsa ditemukan.

Susulan itu, komuniti maritim diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca buruk semasa menjalankan aktiviti di laut.

Penggunaan jaket keselamatan juga adalah sangat penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – MalaysiaGazette