PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang pelajar cedera selepas ditikam rakan asrama di beberapa bahagian badan dalam kejadian yang berlaku di salah sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan dua pelajar itu itu daripada warden asrama sekolah tersebut sekitar jam 4.31 petang.

Menurutnya, mangsa telah ditikam di bahagian dada, belakang badan termasuk peha sebelah kanan menggunakan dua bilah pisau dan pelajar berusia 17 tahun itu kini mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

“Susulan laporan tersebut kita telah membuat tangkapan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang merupakan rakan asrama bagi membantu siasatan sekitar jam 6 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, permohonan reman telah dibuat ke atas remaja itu di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

“Kita juga akan mengambil keterangan saksi-saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Jagdeep Singh Jaswant Singh di talian 019-442 4361 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette