Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula ini bermula pada 1 Julai 2024 melalui portal Budi Madani https://budimadani.gov.my.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutamanya melibatkan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.

Kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, tetapi belum mendapat fleet card.

Mekanisme ini merupakan kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Menteri Perdagangan Dalam
Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024.

Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

Oleh itu, katanya, kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon fleet card secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my. – MalaysiaGazette