Tuesday, June 18, 2024
Home Nasional Permohonan Dr Mahathir prosiding RCI Batu Puteh secara terbuka ditolak

Permohonan Dr Mahathir prosiding RCI Batu Puteh secara terbuka ditolak

Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulakan semakan kehakiman supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka ditolak Mahkamah Tinggi di sini pagi ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh ketika membacakan keputusannya secara ringkas juga menolak permohonan sama yang dikemukakan bekas Perdana Menteri itu yang memohon perintah larangan Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI.

Permohonan Mahathir untuk menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI juga ditolak mahkamah.

Selain itu, Amarjeet juga menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan berkenaan.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan permohonan Mahathir untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam dalam perbicaraan RCI yang sedang berlangsung ketika ini.

Difahamkan, Mahathir akan hadir prosiding RCI secara tertutup bagi memberikan keterangannya sekitar jam 11.30 pagi di Putrajaya.

Amarjeet juga menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran berhubung permohonan ini.

Mahathir telah memfailkan permohonan itu pada 5 Jun, menamakan pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan timbalannya Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.
Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.
Dalam permohonan itu Tun Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here