Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 2024

PUTRAJAYA – Semua ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan diberi peringatan supaya memastikan tidak berlaku pelanggaran undang-undang atau peraturan pilihan raya semasa tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK), kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi itu berkata, peringatan tersebut dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat Kabinet hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat berkenaan tidak membincangkan secara khusus berhubung gesaan seorang penyokong demokrasi, Thomas Fann yang menggesa agar garis panduan diperkenalkan bagi parti dalam kerajaan berhubung pengumuman peruntukan menjelang pilihan raya.

“Kita tidak bincangkan secara khusus perkara ini tetapi Perdana Menteri ada memberi peringatan kepada semua ahli Jemaah Menteri supaya memastikan sewaktu tempoh PRK ini, tidak berlaku apa-apa pelanggaran undang-undang atau peraturan pilihan raya,” katanya pada sidang media mingguannya, di sini, hari ini.

Semalam, Fann yang juga bekas pengerusi Bersih membuat gesaan itu sebagai reaksi terhadap tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Nibong Tebal mengumumkan peruntukan RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang di bawah program Sentuhan Kasih.

Perkara sama turut dibangkitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan itu Dominic berkata, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai usaha membeli undi walaupun alasan menjalankan tanggungjawab yang ada serta pengaruh tidak wajar oleh parti kerajaan terhadap pengundi di DUN Sungai Bakap yang bakal menghadapi PRK pada 6 Julai depan.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan menghentikan amalan tidak beretika yang bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata dalam pilihan raya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:-

Peruntukan RM18 juta: Gerakan dakwa cubaan beli pengundi DUN Sungai Bakap