Joohari (tengah) diumumkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduaan bagi PRK Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

NIBONG TEBAL – Kerajaan Perpaduan menamakan bekas Pengarah Insitut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perkara itu diumumkan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada majlis pengumuman calon PRK di Simpang Ampat di sini, malam tadi.

Kata beliau, calon itu dimuktamadkan sebulat suara oleh Mesyuarat Sekteriat Kerajaan Perpaduan melibatkan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

”Kena dengan kehendak kita, orang tempatan, cerdik, menjadi calon dan kalau terpilih menjadi wakil rakyat tapi itu satu beban.

“Jadi, kita mahu seorang wakil rakyat yang boleh menjaga semua kaum sama ada Melayu, Cina dan India” katanya.

Hadir pada majlis, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek dan barisan pimpinan negeri yang lain.

Joohari merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia.

Bekas guru itu juga dipilih kerana beliau berpengalaman luas dalam bidang latihan kepimpinan dan pengurusan pentadbiran dalam pendidikan.

Selain itu, beliau juga aktif dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar DUN Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette