Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengekalkan parti Pas untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berdasarkan kepada kerusi yang pernah ditandingi parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Yang dulu pun Pas yang bertanding, itu kerusi Pas dan kita akan kekalkan kerusi itu kepada Pas.

“Jadi Pas akan menamakan calon yang akan bertanding disitu, bagi kita itu adalah calon PN,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi.

Ditanya bila gabungan itu akan mengumumkan calon mereka, Muhyiddin berkata, ia pastinya sebelum hari penamaan calon.

“Datuk Idris Ahmad (Pengarah Pilihan Raya PRK Sungai Bakap) maklumkan 15 Jun (ini) pihaknya akan umumkan calon,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi, manakala 22 Jun sebagai hari penamaan calon.

Tarikh pengundian awal pula ialah pada 2 Julai 2024.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada pilihan raya negeri Ogos lalu, Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette