Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah membuat keputusan bersendirian hingga menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh, dalam proses rayuan di Mahkamah Antarabangsa (ICJ), pada 28 Mei 2018.

Sebaliknya Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu yang membuat keputusan untuk menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ dan menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

“Kabinet (buat keputusan), kuasa ada pada saya, saya sebagai Perdana Menteri boleh buat keputusan, tetapi saya pilih tidak buat keputusan.

“Sebaliknya saya memberi pendapat dalam satu surat kepada RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja), peguam cara dan itulah surat saya.

“Kita ada bukti berbentuk dokumen tentang surat itu,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Pada 1 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan seorang Perdana Menteri membuat keputusan sembunyi-sembunyi dan bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh, dalam proses rayuan di ICJ.

Azalina berkata, Perdana Menteri itu membuat keputusan bersendirian tanpa sesiapa mengetahuinya, termasuk Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang bercuti ketika itu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak pernah membuat keputusan sendiri kerana bekas Perdana Menteri meneliti semua dokumen prosiding ICJ termasuk daripada lima peguam kanan dari England.

“Mereka memberi pendapat bahawa kes kita lemah, itu dalam satu surat. Sebelum saya diberi taklimat, Dr Brandon Plant datang jumpa saya dan jelaskan kepada saya kedudukan (Malaysia).

“Dia (Brandon) berpendapat bahawa kes kita itu lemah, tiada peluru sivil untuk tentukan kita dapatkan kemenangan,” katanya.

Selain itu katanya, beliau turut diberi taklimat yang dihadiri oleh kakitangan dari Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri serta dua peguam tempatan yang dilantik Apandi sebagai perunding bersama Brandon.

“Semasa taklimat itu, sudah tentu kita berbincang, tetapi pada masa itu tiada sesiapa pun menyanggah pandangan Brandon bahawa kes kita lemah dan kita hadapi risiko kalau kita teruskan.

“Akhirnya taklimat itu saya diminta buat keputusan, saya minta saya diberi masa untuk buat keputusan. Itu pada 17 (Mei 2018), pada 21 (Mei 2018) saya masih tidak membuat keputusan.

“Saya hanya menulis surat kepada peguam cara, saya hanya ketidakpuasan hati, bukan arahan, tapi pendapat saya bahawa kita tidak sepatutnya meneruskan (proses rayuan),” katanya.

Tambahnya, walaupun dalam mesyaurat Kabinet pada 23 Mei 2018, Dr Mahathir masih tidak membuat sebarang keputusan, sebaliknya beliau hanya memberikan pendapat.

“Saya bawa pendapat itu dalam Kabinet dan saya jelaskan semua perkara apa yang Brandon kata.

“Kabinet tidak membantah, tidak menolak idea itu untuk kita tidak teruskan tindakan Malaysia. Itu keputusan muktamad yang dibuat oleh Kabinet, bukan saya seorang diri,” katanya.

Selain itu, ketika keputusan itu dibuat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu berada dalam mesyuarat Kabinet itu dan ramai menteri PH lagi hadir.

“Mereka dengar apa saya kata (pendapat) dan mereka tidak mengatakan tidak kepada idea itu dan mesyuarat itu diminitkan mereka semua tidak membantah dan mereka bersetuju dengan keputusan untuk meneruskan (rayuan),” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan tuduhan Azalina terhadap beliau kononnya membuat keputusan seorang diri sebagai tidak masuk akal.

“Azalina mengatakan keputusan itu dibuat oleh saya sendiri tanpa mendapat sebarang rundingan, itu semua mengarut.

“Ini kerana saya sendiri mengikuti perkembangan rundingan dan hadir dalam sesi soal jawab tentang intepretasi terhadap penemuan ICJ,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaa…semua org salah kecuali ko sorang…dah ko sendiri sepanjang jd PM tak pernah buat keputusan..semua kabinet dan orang lain buat keputusan…haaaa..belit punya mamak

Comments are closed.