Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di perkarangan Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk memberi keterangan mengenai RCI Batu Puteh. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 2024

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, di sini, pagi ini.

Terdahulu Dr Mahathir yang menaiki Proton Perdana dan memakai kemeja putih dengan suite kelabu tiba di pekarangan lobi BHEUU, kira-kira jam 10.46 pagi tadi.

Dr Mahathir sempat melambai ke arah petugas media sebelum bergegas masuk ke pejabat Jabatan Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan di hadapan panel RCI.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 5 Jun lalu supaya prosiding RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Bekas Perdana Menteri itu dalam afidavit sokongan berkata, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.

Dalam permohonan itu. Dr Mahathir menamakan pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Dr Mahathir juga memohon perintah bagi melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI.

Selain itu, Dr Mahathir turut memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here