Keadaan pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim semasa membuat kemunculan kali pertama pada sidang media selepas menjadi mangsa simbahan asid ketika di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

SHAH ALAM – Penyerang Selangor FC, Faisal Halim mengakui dia berdepan trauma yang teruk selepas insiden disimbah asid awal bulan lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu  pernah terfikir mahu pulang sahaja ke kampung dan sanggup hilang pendapatan bulanan puluhan ribu demi keselamatan keluarganya.

“Saya beritahu isteri saya, keluarga saya termasuk abang saya, saya tidak kisah hilang gaji puluh ribu dan hendak balik kampung.

“Saya hanya mahu hidup tenang, saya boleh ambil gaji RM50 sehari janji keluarga saya selamat saya tak mahu hidup dalam ketakutan.

“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, saya tidak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan,” katanya padasidang media bersama pengurusan Selangor FC di  sini hari ini.

Faisal muncul pertama kali di khalayak selepas kes dirinya disimbah asid awal bulan lalu dan kini sudah dibenarkan keluar hospital.

Tonggak Harimau Malaya itu menambah, dia memiliki hubungan yang sangat rapat dengan anaknya.

Katanya, insiden itu menyebabkan dia tidak memeluk anaknya lebih daripada sebulan.

“Bukan perkara mudah kasih sayang seorang ayah apabila lebih sebulan tak dapat peluk dan sayang anak saya. Sehinggalah baru-baru ini dalam empat lima hari ke belakang ini dapat peluk anak saya lagi.

“Saya belum dapat tidur dengan dia lagi. Anak saya semangat, kekuatan saya. Apa jadi saya terima dengan reda dan hati yang terbuka.

“Saya harap saya dapat kembali beraksi untuk memberikan hadiah kepada anak saya,” katanya.

Faisal kelahiran Pulau Pinang itu juga mengesahkan  belum pasti sama ada mampu untuk kembali bermain bola sepak selepas menjadi mangsa simbahan asid itu.

Namun dia mengharapkan semua pihak mendoakannya untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kembali ke padang.

Awal Mei lalu, mmenjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lepas. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here