Peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abd Moin bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

PETALING JAYA – Datuk dan nenek kanak-kanak autisme yang dibunuh tahun lalu, Allahyarham Zayn Rayyan dibebaskan hari ini atas jaminan polis selepas ditahan selama 24 jam.

Peguam pasangan tersebut, Fahmi Abdul Moin berkata, pasangan itu ditahan bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, mereka dilepas hari ini namun perlu melaporkan diri sebulan sekali di ibu pejabat polis berdekatan sebagai syarat jaminan daripada pihak polis.

Fahmi turut memberi jaminan, kedua-dua anak guamnya itu akan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Mereka tidak ada apa-apa isu hanya diminta memberikan keterangan bagi menyambung keterangan yang sudah diberi sebelum ini.

“Mereka akan beri kerjasama yang erat untuk mencari siapakah pembunuh Zayn Rayyan,” katanya ketika ditemui media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Dalam masa yang sama, datuk kepada kanak-kanak yang maut dibunuh itu, Zahari Mohd Reba mengucapkan penghargaan kepada polis yang memberikan layanan baik sepanjang penahanannya dan isteri selama semalam.

“Terima kasih wartawan yang hadir, sepanjang saya ditahan di IPD Petaling Jaya saya dilayan baik makan minum, semua baik. Pihak PDRM memang profesional, terima kasih.

“Saya tidak cukup tidur daripada semalam saya nak balik berehat nak tengok anak dan menantu saya di rumah itu sahaja yang saya boleh sampaikan setakat ini,” kata Zahari.

Terdahulu beliau berkata, polis terlebih dahulu menghubunginya supaya datang ke IPD Petaling Jaya pada jam lebih kurang 3 petang semalam.

Kemudian, beliau dan isterinya ditahan selepas tiba di balai polis itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai pendakwaan terhadap anak dan menantunya hari ini kerana belum mendapat maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.

“Saya tidak tahu dalam IPD tidak tengok sebab masa itu telefon disimpan polis sekarang diberikan semula jadi tidak boleh ulas,” katanya lagi.

Anak dan menantunya, Zaim Ikhwan dan Ismanira Abdul Manaf hari ini dituduh mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang.

Pendakwaan yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada pagi tadi didengar di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh. – MalaysiaGazette