Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bercakap kepada media mengenai punca sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Baitul Husna, Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengesahkan pihaknya sudah menerima menerima notis daripada parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung keahliannya terhenti serta-merta.

Dalam satu kenyataan, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau sebaliknya telah dipecat apabila Bersatu menghantar notis rasmi yang mengeluarkan namanya dari senarai ahli parti.

“Ini bermakna mereka telah mengambil tindakan untuk memecat saya. Perkara 49A(2)(c) telah jelas menyatakan kedudukan saya selaku ahli Dewan Rakyat tidak terhenti apabila parti Bersatu memecat saya daripada keanggotaan parti setelah nama saya dikeluarkan daripada senarai keahlian,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz turut memaklumkanĀ  pindaan perlembagaan parti sengaja dibuat untuk memecat keahliannya itu mempunyai unsur berniat jahat serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, keabsahan pindaan perlembagaan Bersatu bersabit kedudukan Ahli Dewan Rakyat tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara bukan sebaliknya.

“Dengan itu, pindaan perlembagaan Bersatu itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dapat membuat keputusan yang bijak bahawa notis berkenaan tidak menghentikan
kedudukan beliau selaku Ahli Dewan Rakyat.

“Saya menaruh keyakinan yang tinggi kepada kebijaksanaan Tan Sri Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya percaya beliau akan menggunakan sepenuh kebijaksanaan untuk membuat keputusan (ruling) bahawa notis yang dihantar oleh Bersatu itu telah mengesahkan bahawa saya telah dipecat secara rasmi,” katanya lagi.

Terdahulu, Bersatu mengesahkan telah menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata notis berkenaan selaras arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada Jumaat lalu.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz, turut menerima notis sama adalah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selain itu, Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Kelantan dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari. – MalaysiaGazette