Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

PUTRAJAYA – Subsidi diesel hanya diberikan kepada lori berkategori mengangkut kargo, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau memberitahu, lori pembinaan dan juga bas pelancongan tidak diberikan subsidi kerana tidak disenaraikan dalam kategori barangan pengguna.

“Lori pembinaan tidak ada (subsidi diesel). Tak dalam kategori (23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan Kementerian Kewangan (MoF).

“Dia (lori pembinaan dan bas pelancongan) bukannya terus kepada barangan pengguna.  Apa yang kita bagi subsidi ialah lori yang mengangkut kargo barangan yang akan ada kesan kepada kos pengguna,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sektor industri seperti pembinaan sememangnya tidak layak menikmati subsidi diesel sejak dahulu.

Kata Armizan, kelompok itu tetap tidak menikmati subsidi seperti syarikat pengangkutan awam dan barangan lain menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) susulan pelarasan harga diesel kepada RM3.35 seliter mulai Isnin lalu.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan syarikat yang ingin memohon diesel bersubsidi Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan Kementerian Kewangan pada 29 Mei lalu.

Malah pemilik 23 kategori itu perlu memastikan syarikat memenuhi empat syarat kelayakan memohon diesel bersubsidi SKDS 2.0.

Menerusi SKDS 2.0 ketika ini hanya membabitkan 23 kategori kenderaan layak beroperasi di Semenanjung iaitu antaranya kenderaan jenis Lori Rigid – Kargo Am, Penggerak Utama, Lori Rigid – Refrigerated, Lori Rigid – Tangki Tepung, Lori Rigid – Luton/Kotak, Window Van, Lori Rigid – Tangki Air dan Panel Van.

Jenis kenderaan lain yang turut disenaraikan ialah Lori Rigid – Minuman Botol, Lori Rigid – Curtainsider, Lori Food Catering, Lori Rigid – Hasil Pertanian, Lori Tangki Rigid – Minuman, Lori Rigid – Kandang Haiwan, Semi – Panel Van.

Selain itu, Lori Rigid – Kombinasi, Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid – Open Platform, Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid – Sampah. – MalaysiaGazette