Wang tunai yang dirampas dalam Ops Transit dipercayai rasuah membabitkan sindiket kontena terbang.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 orang termasuk 11 pegawai kastam dan enam pengarah serta pekerja syarikat  bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 billion di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Turut ditahan seorang  seorang runner dan kekasihnya.

Menurut sumber, hasil siasatan setakat ini SPRM telah berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terlibat.

Ini tidak termasuk empat buah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000.00, sebuah kenderaan Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai.

Tambah sumber, semua sitaan adalah sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini.

Dalam masa yang sama, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu telah dibekukan dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta.

SPRM juga dalam proses mengesan akaun-akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek-suspek sindiket ini

Dalam pada itu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) juga telah memeriksa kesemua 19 kontena yang disita. Hasil pemeriksaan, sindiket ini telah membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkan barangan seperti wheel chair, tandas duduk, tekstil dan peralatan kesihatan yang tidak bercukai.

Namun hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati kesemua kontena terbabit mengandungi pelbagai jenis barangan lain termasuk lampu LED, papan panel solar, lampu solar, peralatan aksesori motosikal, sport rims, kenderaan, part kenderaan, pakaian, teh cina, daging babi proses dalam tin dan sebagainya.

Nilai anggaran keseluruhan 19 kontena tersebut termasuk cukai yang perlu dibayar dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Ahmad Khusairi Yahya

Ini adalah antara kejayaan terbesar SPRM dalam mengekang isu rasuah dikalangan penguatkuasa dan isu ketirisan hasil negara.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (b), Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

“Tindakan mengesan dalang utama sindiket sedang giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama agensi luar negara,” tambah beliau.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM memberikan kenyataan bahawa negeri-negeri yang mempunyai kemudahan pelabuhan kini dalam perhatian SPRM bagi mengesan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here