Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM), Datuk Micheal Loo bercakap kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di Bandar Puchong Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM) tidak menolak kemungkinan kos bahan binaan dalam sektor perumahan akan mengalami kenaikan sehingga 30 peratus, selewat-lewatnya minggu depan.

Presidennya, Datuk Micheal Loo berkata, pelaksanaan penyelarasan semula subsidi diesel menyebabkan bahan api itu meningkat sehingga 55 peratus atau sebanyak RM1.20 seliter.

“Kalau kerajaan tak ambil kira industri kami, saya jangka industri ini dengan secara tidak sengaja akan menaikkan kos sehingga 30 peratus dan kami hanya bertahan untuk minggu ini sahaja (kos lama).

“Sekarang pengusaha parkir lori sahaja, tak dapat keluar tapi bayaran ansuran pinjaman bank tetap kena buat, pengusaha terbeban,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM), Datuk Micheal Loo menunjukkan surat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas sidang media di pejabatnya di Bandar Puchong Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

Kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin lalu, selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Loo juga berkata, kenaikan harga bahan api itu daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter menyebabkan 5,500 ahli persatuan itu dalam keadaan tertekan kerana industri lori tipper sangat berkait rapat dengan bidang pembinaan.

“Secara tidak langsung kos pembinaan rumah akan menghadapi kenaikan secara mendadak. Ini keranan segala bahan binaan seperti batu, pasir, tanah, simen dan konkrit menggunakan perkhidmatan lori tipper.

“Kos minyak diesel tidak bersubsidi akhirnya akan ditampung oleh pemaju perumahan dan mereka tiada pilihan hingga terpaksa mengalihkan lebihan kos ini kepada bakal pembeli rumah dengan harga jualan rumah lebih tinggi

“Tempiasnya akhirnya akan ditanggung oleh rakyat jelata apabila terpaksa membayar harga rumah mampu milik dari RM250,000 ketika ini kepada RM350,000 pada masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette