Peguam, Mahmud Abdul Jumaat.

PETALING JAYA – Setakat ini, peguam kepada ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum  dimaklumkan tentang pertuduhan yang bakal dihadapi anak guamnya.

Peguam kepada ibu kepada kanak-kanak autisme berusia 6 tahun itu, Mahmud Jumaat hanya mendapat tahu makluman berkenaan pagi ini.

“Macam yang saya katakan sebelum ini akan ada kejutan hari Khamis (hari ini) jadi inilah kejutannya.

“Untuk adilnya saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah buat yang terbaik, mereka akan maklum seawal mungkin biasanya saya percaya ada sebab (dimaklumkan lambat) sehingga pagi tadi. Tidak pasti akan dituduh di bawah (peruntukan) apa,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling.

Beliau dilaporkan mengesahkan pasangan itu akan dituduh pada hari ini.

Tempoh reman kedua ibu bapa Zayn Rayyn sepatutnya tamat pada hari ini.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka dijangka akan dibawa ke mahkamah di sini pada hari ini.

Kedua mereka direman selama 13 hari bagi membantu siasatan kematian anak mereka pada Disember tahun lalu yang diklasifikasikan sebagai mati dibunuh.

Sebagai rekod, Zayn Rayyan ditemui di sebatang anak sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu selepas hilang sehari sebelumnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa hari ini