Antara tiga buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.6, Lebuhraya Damansara Puchong menghala ke Kepong, pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 13.6, Lebuhraya Damansara Puchong menghala ke Kepong pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, mangsa berusia 50-an itu disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital semasa menerima rawatan pada jam 10.40 pagi semalam.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 10.16 malam 10 Jun lalu.

“Semakan awal mendapati, kemalangan berlaku pada jam 8 malam hari sama yang mana motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Bandar Sri Damansara menuju ke SS2.

“Semasa tiba di tempat kejadian, lelaki warga tempatan itu telah dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang sebelum tercampak hingga terlanggar kenderaan lain yang berada dihadapannya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepada dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahrulnizam, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Aktar Pengangkutan Jalan 1987.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan polis dalam tindakan mengesan serta merakam keterangan saksi bebas kejadian

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di tempat kejadian, diminta tampil membantu siasatan.

“Atau berhubung terus pegawai penyiasat trafik IPD Petaling Jaya, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette