Polis menyelamatkan tiga lelaki yang dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksaan dalam serbuan di sebuah kilang menghasilkan fucuk di Juru, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan di sebuah kilang memproses fucuk di kawasan perindustrian Juru di sini semalam.

Ops Pintas Mega yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pukul 2 petang itu berjaya membongkar kegiatan majikan tersebut berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) , mangsa disyaki adalah orang yang diperdagangkan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu telah bekerja di kilang tersebut sejak tiga bulan lalu dan mereka dikerah bekerja selama sembilan jam setiap hari untuk melakukan kerja memproses fucuk.

Stokin digantung bersama fucuk dalam kilang tersebut.

Difahamkan, kesemua lelaki diberi amaran oleh majikan agar tidak keluar dari kawasan kilang untuk elak diberkas pihak berkuasa dan dipercayai mereka akur demi mendapatkan upah bulanan.

Dalam serbuan sama, seramai sembilan warga asing termasuk empat wanita berusia 25 hingga 42 tahun disyaki pekerja premis ditahan.

Turut ditahan, lelaki berusia 66 tahun yang juga majikan bagi kilang fucuk tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan serbuan serta jumlah mangsa yang diselamatkan pihak polis.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tindakan lanjut.

Majikan (baju merah) turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Operasi yang berakhir pukul 6 petang itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi juga mendapati, kilang fucuk tersebut berada dalam keadaan menjijikkan selain terdapat anjing peliharaan dibiarkan berkeliaran di kawasan pembungkusan fucuk tersebut.

Lebih meloyakan, apabila fucuk yang dalam proses kering itu digantung bersama stoking selain pekakasan menghasilkan makanan turut dipenuhi kerak soya lama serta lipas.

Tempat tinggal yang disediakan majikan untuk pekerja tersebut dikatakan tidak menepati spesifikasi JTK.

Malah pekerja pula dibiarkan tidur di pondok usang yang terletak di bahagian belakang kilang berkenaan tanpa sebarang kemudahan termasuk tandas yang mengikut spesifik JTK.

Turut ditemui, ratusan paket minyak masak subsidi dan difahamkan majikan tersebut gagal memberi penjelasan berhubung minyak masak tersebut. – MalaysiaGazette