Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas kira-kira 63.5 kilogram (kg) dadah jenis ganja di dalam kereta dipandunya di Horizon Hills di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M.Kumarasan berkata, lelaki itu yang memandu kereta Honda City ditahan anggota Unit Cawangan Rondaan Bermotosikal (URB) kira-kira 2.30 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di sekitar kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemukan 63,487 gram atau 60 peket ganja yang dianggarkan bernilai RM210,150 di bahagian but kereta itu.

“Jumlah dadah ini dipercayai boleh digunakan oleh 64,000 pengguna jika terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati lelaki itu dipercayai bergerak secara berkumpulan dengan modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari luar Johor sebelum dibawa masuk ke negeri ini untuk pasaran tempatan.

Menurut Kumarasan, sindiket itu berpangkalan di negeri ini dan aktif sejak Januari lepas manakala lelaki itu dipercayai datang untuk menyerahkan dadah terbabit kepada seorang lagi suspek yang telah dikenal pasti.

“Setiap kali suspek menghantar bekalan ini, dia akan dibayar antara RM2,000 hingga RM5,000,” katanya sambil menambah suspek didapati positif terhadap ganja namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, polis turut menyita kereta Honda City itu dan lelaki berkenaan kini direman hingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumarasan berkata, susulan itu, pihaknya sedang giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai L.Kesavah Raj, 30, dan beralamat di Taman Bukit Indah, Johor Bahru untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan dua lelaki disyaki menyeludup 167 karton minuman keras pelbagai jenis bernilai RM98,302 termasuk cukai di sini awal hari ini.

Masing-masing yang berusia 35 dan 42 tahun, katanya ditahan ketika memandu kereta Toyota Estima dan Perodua Bezza di persimpangan keluar lebuh raya menghala ke Iskandar Puteri  kira-kira 2.30 pagi.

Hasil pemeriksaan di dalam Toyota Estima menemukan kesemua karton minuman keras berkenaan dan polis turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenama daripada dua lelaki itu.

“Kereta Perodua Bezza itu dipercayai bertindak sebagai ‘penjaga laluan’ yang mengiringi Toyota Estima berkenaan,” katanya.

Kumarasan berkata, kedua-duanya yang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman hingga 24 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here