Thursday, June 27, 2024
Home Dunia 2,500 rakyat Palestin gagal tunai ibadah haji

2,500 rakyat Palestin gagal tunai ibadah haji

Palestinians carry some salvaged belongings as they leave the Jabalia refugee camp in the northern Gaza Strip after they returned briefly to check on their homes on May 31, 2024, amid the ongoing conflict between Israel and the militant group Hamas. (Photo by Omar AL-QATTAA / AFP)

GAZA – Perang berterusan di Gaza dan pendudukan Israel di laluan Rafah yang menghubungkan Gaza ke Mesir telah menghalang 2,500 rakyat Palestin daripada menunaikan ibadah haji tahun ini, menurut Kementerian Wakaf di Semenanjung Gaza.

“Ini adalah “pelanggaran kebebasan beragama yang jelas,” kata jurucakap kementerian Ikrami Al-Mudallal, bercakap kepada Agensi Anadolu (AA).

Konflik itu telah mengganggu persiapan haji biasa kementerian termasuk menandatangani kontrak pengangkutan di Mesir dan Arab Saudi serta menempah penginapan di Mekah dan Madinah, tambah Al-Mudallal.

Al-Mudallal menyatakan bahawa “penutupan laluan Rafah dan konflik yang berterusan telah menghalang 2,500 jemaah Gaza termasuk misi yang mengiringi daripada melakukan perjalanan untuk menunaikan haji.”

“Kumpulan ini mewakili 38 peratus daripada keseluruhan 6,600 jemaah Palestin,” katanya.

Al-Mudallal berkata kementerian sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi dan Mesir untuk menangani apa yang mereka sifatkan sebagai “pelanggaran ketara” terhadap hak jemaah Palestin dan mencari jalan untuk mereka menunaikan haji.

Beliau memberi jaminan bahawa jemaah haji yang terjejas tahun ini “tidak akan kehilangan hak mereka untuk menunaikan haji tahun depan, dengan keutamaan diberikan kepada mereka,” terutamanya kerana ramai yang menunggu giliran dan 70 peratus adalah warga emas atau sakit.

Tahun ini, jemputan diraja Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz untuk menempatkan 500 jemaah daripada keluarga mereka yang terbunuh dan cedera di Gaza telah diagihkan kepada keluarga di luar Semenanjung Gaza, menurut Al-Mudallal.

“Tindakan ini membolehkan mereka yang telah meninggalkan Gaza untuk menunaikan haji, memelihara hak Gaza terhadap jemputan diraja itu,” katanya.

Pada 6 Jun lepas, Raja Arab Saudi mengarahkan penganjuran luar biasa membabitkan 1,000 jemaah daripada keluarga Gaza yang terkorban dan cedera sebagai sebahagian daripada Program Tetamu Haji dan Umrah Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi.

Jemaah haji ini dipilih daripada mereka yang telah meninggalkan Gaza sama ada disebabkan perang atau untuk rawatan perubatan. – BERNAMA