DHAKA – Tukang gantung banduan di penjara Bangladesh yang menggantung pembunuh bersiri dan ahli politik dilapor meninggal dunia.
Shahjahan Bhuiyan, 74, dimasukkan ke hospital di Dhaka selepas mengadu sakit dada.
Dia kemudian meninggal dunia ketika menjalani rawatan, lapor media tempatan.
Bhuiyan dipercayai telah melakukan sekurang-kurangnya 26 hukuman mati tetapi beberapa laporan telah meletakkan jumlah itu setinggi 60.
Seorang bekas revolusioner, dia menjadi algojo (tukang gantung) semasa menjalani hukuman penjara 42 tahun kerana merompak dan membunuh.
Hasrat Bhuiyan untuk mengurangkan masa penjaranya dengan menjadi sukarelawan sebagai algojo telah diberi ganjaran tahun lalu apabila dia dibebaskan 10 tahun lebih awal.
Antara mereka yang mati di tangannya ialah pegawai tentera yang didapati bersalah membunuh ketua pengasas negara itu, Sheikh Mujibur Rahman – bapa kepada Perdana Menteri Bangladesh sekarang.
Dia juga menghukum mati ahli politik Ali Ahsan Mujahid dan Salahuddin Quader Chowdhury, yang kedua-duanya didakwa dengan jenayah perang, serta pembunuh bersiri Ershad Shikder.
Bhuiyan sentiasa mempertahankan peranannya sebagai tukang gantung, dilaporkan berkata, “Jika saya tidak menggantung mereka, orang lain akan melakukannya”.
Sebuah buku mengenai pengalamannya, termasuk penjelasan mengenai prosedur gantung, dikeluarkan awal tahun ini dan menarik perhatian.
Selepas dibebaskan dari penjara, Bhuiyan berkahwin dengan seorang gadis yang berusia 50 tahun. – Agensi