Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Empat syarikat yang telah diluluskan permohonan fleet card antara 10 syarikat dipanggil untuk memberikan penjelasan kewajaran tindakan menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya telah mengeluarkan Notis Bertulis (NB) memanggil semua syarikat berkenaan.

Jelasnya, syarikat tersebut berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (tiga), sektor bahan binaan (3 syarikat), sektor makanan dan minuman (2 syarikat) serta sektor sewaan jentera (2 syarikat).

Menurut beliau, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan dua syarikat telah dipanggil semalam dan baki akan menyusul mengikut jadual.

“Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya dalam kenyataan.

Setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

Kegagalan untuk menghadirkan diri boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut.

“Kementerian ingin memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan Kerajaan.

“Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya di bawah Akta 723.

“Dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat, manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Sementara itu, menurut beliau, KPDN telah melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lalu bertujuan untuk memastikan semua penentuan atau peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan mematuhi undang-undang.-MalaysiaGazette