Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dijangka menawarkan kursus latihan kepakaran kardiotorasik di institusi berkenaan Oktober ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia bagi membolehkan graduan yang ingin mengikuti kursus berkenaan melanjutkan pelajaran di UM, yang dijangka turut ditawarkan oleh institusi lain selepas itu.

“… di peringkat kementerian (Kementerian Pendidikan Tinggi), kita cuba cari pendekatan terbaik bagaimana kita mahu selesaikan masalah ini. Jadi Insya-Allah dalam tempoh yang terdekat, isu-isu seperti ini akan kita selesaikan dengan segera.

“Kita jangkakan pada Oktober nanti isu kursus berkaitan kardiotorasik ini akan dapat diselesaikan, maknanya ada laluan lain selain UiTM (Universiti Teknologi Mara), ada juga di universiti lain yang akan menawarkannya,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk membolehkan institusi lain menawarkan kursus latihan pakar kardiotorasik bagi mengatasi isu kekurangan pakar kardiotorasik negara.

Menjawab soalan asal Ramkarpal yang ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976, Zambry berkata pengekalan dasar UiTM untuk kaum Melayu, orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih diperlukan.

Beliau berkata, ia adalah usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam merapatkan jurang antara kaum, terutamanya yang melibatkan aspek sosio ekonomi.

Katanya laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 oleh Kementerian Ekonomi juga menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan Bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

“… penubuhan UiTM adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir pada ketika itu (dulu).

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak-anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka di Malaysia,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast