Edgard D. Kagan --fotoBERNAMA (2024)

KOTA KINABALU – Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata beliau yakin Jabatan Kehakiman Amerika akan terus mencari aset serta dana yang dicuri dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk dipulangkan bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata kerajaan AS komited melakukan apa yang mampu untuk memulangkan setiap sen wang 1MDB yang boleh mereka temukan dan rampas, untuk dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

Kagan berkata mereka melakukan ini bukan sebagai kerja amal atau hadiah, tetapi atas rasa tanggungjawab kerana wang itu milik rakyat Malaysia dan ia dicuri daripada mereka, justeru wang itu harus dikembalikan untuk manfaat rakyat Malaysia.

“Kami faham bahawa Malaysia dan rakyat Malaysia mengalami kerugian yang amat besar dalam kes ini. Bagaimanapun kami berbangga dengan kenyataan bahawa AS telah memainkan peranan penting dalam menangani isu 1MDB.

“Jika anda perhatikan dengan teliti, tiada mana-mana pihak sebelum ini yang merampas atau menyita aset dalam jumlah yang begitu besar dan mengembalikannya kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di The Ambassadorial Talk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Semalam Kagan dalam kenyataan berkata AS telah memulangkan kira-kira AS$156 juta (RM721.4 juta) kepada kerajaan Malaysia yang merupakan transaksi keempat dana yang diperoleh semula hasil rampasan aset yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau berkata dengan pindahan dana itu AS telah mendapatkan dan membantu memperoleh semula serta memulangkan kira-kira AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion) dana yang diseleweng dari Malaysia, setakat ini.

Perbuatan itu dilakukan menerusi beberapa siri transaksi yang kompleks dan penglibatan syarikat ‘shell’ mencurigakan atau hanya wujud di atas kertas dengan akaun bank di AS dan luar negara menggunakan dokumen serta representasi palsu.- BERNAMA