NIBONG TEBAL – Persaraan awal dalam kalangan guru bukan satu perkara yang merencatkan perkembangan Kementerian Pendidikan (KPM).
Bagaimanapun, menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan, pelbagai mekanisme diambil dalam meningkatkan semangat guru untuk terus memberi khidmat mendidik anak bangsa sebelum mereka bersara wajib.
Antara mekanisme dalam memberi galakan kepada guru untuk kekal berkhidmat termasuk program bersifat psikometrik, sokongan dan dokongan termasuk pengurusan berkaitan kenaikan pangkat.
“Sebenarnya, setiap tahun memang akan ada guru bersara samaada wajib atau sara pilihan dan KPM menghargai semua pilihan guru yang memilih untuk bersara awal atas pelbagai alasan.
“Saya fikir yang hendak sara awal ini mereka memilihnya atas alasan-alasan kuat seperti faktor kesihatan, tidak berminat atas alasan keluarga yang saya fikir ruang itu pun kita beri sepenuhnya kepada guru-guru kita,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Fadhlina bersama jentera parti menyantuni peniaga Pasar Malam Sungai Duri dalam usaha membantu kempen calon Pakatan Harapan, Dr. Joohari Ariffin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut melakukan intervensi khsususnya kerjasama erat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan hasil memberangsangkan dalam pengisian guru.
“Pengisian guru setakat ini di seluruh negara adalah 98 peratus jadi kita telah selesaikan banyak khususnya semasa ada aduan di peringkat kekurangan guru di Sarawak dan ia juga berlangsung di seluruh negara dengan kerjasama erat daripada SPP,” katanya.
Terdahulu, Fadhlina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai bilangan guru bersara pilihan serta punca persaraan mereka kerana tidak lagi berminat meneruskan kerjaya dikenal pasti punca utama ribuan guru memilih untuk bersara awal sejak tiga tahun lalu
Beliau berkata, keadaan itu mewakili 72.36 peratus daripada 4,300 hingga 6,300 guru yang memilih untuk bersara awal bagi tempoh sama.
Faktor keluarga juga dikenal pasti sebagai punca lain keadaan berkenaan, membabitkan 15.21 peratus daripada jumlah guru yang memilih untuk bersara awal.
“Seterusnya, faktor kesihatan mewakili 6.96 peratus guru memilih bersara awal, diikuti beban tugas (3.82 peratus) dan masalah peribadi (1.64 peratus),” katanya. – MalaysiaGazette