Seorang pembantu am sebuah badan beruniform mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak perempuannya di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu am sebuah badan beruniform didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap anak perempuan kandungnya berusia empat tahun, pada bulan lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Noor Ainu Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Seri Emas, Nibong Tebal antara pukul 5.30 petang hingga 6.30 petang pada Mei lalu.

Bagi pertuduhan amang seksual pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Bagi pertuduhan seks luar tabii iaitu liwat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurul Nadia tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan, mangsa masih tinggal bersamanya selain risiko kejadian sama berulang.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Kes akan disebut semula 15 Julai depan bagi serahan dokumen laporan perubatan dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette