Mohd Hafiz Ariffin. Foto MALAYSIA GAZETTE.

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk meluluskan reka pakaian kontinjen negara bagi Sukan Olimpik Paris 2024 menunjukkan ketidaktelitian dalam membuat keputusan.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, ia tidak patut dilencongkan kepada penaja rekaan pakaian (Yonex Sunrise) dengan alasan rekaan adalah daripada pihak mereka perlu mengambil kira faktor kos.

Beliau berkata, sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal sukan, MOM mempunyai masa empat tahun untuk mengurus kos mereka bentuk pakaian sehingga siap.

“Bukan asal ada, asal orang taja kita terima. Banyak jenama pakaian sukan tempatan yang berkebolehan mereka pakaian sukan dan faham keperluan pakaian atlit antaranya Voltra, Al-ikhsan, Dribblack dan lain-lain.

“Ini adalah satu kerugian tak terjadinya usahasama antara MOM dengan bakat-bakat tempatan. Sepatutnya, ini boleh memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan ke pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hafiz, lebih tidak cermat apabila MOM membalas kritikan masyarakat berhubung reka pakaian pasukan kontinjen negara dengan memberikan jawapan, “tiada makna pakaian cantik tapi tak bawa pulang emas”.

Jelasnya, ia tidak menggambarkan sikap lain selain sikap sombong atas kritikan.

“Apa yang nak didabik dada meminta-minta emas kalau perkerjaan paling mudah, reka pakaian pun MOM sendiri gagal?

“Sebagai peminat sukan atau pun masyarakat biasa, perkongsian perasmian rekaan pakaian kontinjen menjadi perkara pertama yang ditunggu-tunggu.

“Sebab kita tahu reka pakaian kita adalah perkara pertama yang akan membawa imej negara kita ketika cahaya lampu sorot disimbah dan menjadi tontonan satu dunia.

“Tiada makna menyarung sepatu Prada tapi tidak berkebolehan punya deria rasa dan hati untuk meluluskan reka pakaian kontijen yang semenggah,” tambahnya.

Katanya lagi, atlet negara mempunyai hak untuk dipenuhi segala keperluannya dan adalah kewajipan badan pelaksana untuk mendukung tanggungjawab dengan baik.

“Kemestian untuk masyarakat menyemak kerja badan pelaksana agar sukan negara terus maju, gah menayang Belang Rimau dan menjulang Jalur Gemilang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast