Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan watikah pelantikan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 14 JUN 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

Cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan, katanya.

Beliau menepis “cakap-cakap” pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat dalam hal tersebut.

“Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah. Apa yang salah? Salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru bahasa Inggeris dari Singapura…itu salah.

“Yang saya bicarakan dengan Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong) ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kelmarin, Anwar memaklumkan Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.

Beliau berkata, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di Seri Perdana di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, langakah tersebut diambil supaya Malaysia dapat menjalinkan hubungan lebih baik dengan negara jiran.

“Kita nak naik dengan Thailand, Singapura, Brunei,Indonesia, negara jiran ini penting untuk kita.

“Antaranya saya bincang soal zon ekonomi Johor, pelaburan dan perdagangan, saya kata ambil inisiatif untuk jalin hubungan baik,” tambahnya. – MalaysiaGazette