Suhaimi Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Kejohanan bola sepak Eropah, Euro 2024 yang bakal bermula esok tidak dapat disiarkan secara percuma di kaca televisyen menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) disebabkan kos yang tinggi.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia,  Suhaimi Sulaiman ketika menjawab persoalan peminat di laman X.

Menurut beliau, ini sesuatu kejohanan dunia berprestij mencecah kos hak siaran antaran RM10 juta sehingga RM60 juta dan ia melibatkan wang pembayar cukai.

“Saya penjawat awam nak jelaskan betapa mahal gila hak siaran itu kepada yang tag dan maki hamun saya sekali.

“Hak siaran kejohanan sukan antarabangsa ini ada antara RM10 juta ke RM60 juta. Kami nak belanja duit pembayar cukai kena buat keputusan dengan betul,” katanya.

Suhaimi turut menegaskan tiada yang percuma jika ia melibatkan hak penyiaran dan pihak penaja juga sukar buat keputusan.

“Mana kami nak cari wang puluhan juta ringgit nak beli hak siaran itu? Mana ada benda percuma dalam dunia ini? Kau ingat murah ke hak siaran ini? Penaja pun fikir panjang nak masuk,” tambahnya.

Saingan Euro 2024 dijangka berlangsung sengit membabitkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan, Itali yang akan mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi edisi lalu.

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati membabitkan 57 perlawanan secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini. – MalaysiaGazette