Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kes saman menyaman antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai apabila kedua-dua pihak bertindak menghentikan tindakan sivil itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.

Manakala Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pula sedang menyaman Muhyiddin kerana ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Sepatutnya perbicaraan akan bermula Ogos tahun ini namun kedua-dua sepakat dalam menarik balik saman selepas mengambil kira kesannya kepada umum.

Difahamkan itu juga saranan yang diberi Hakim Mahkamah Tinggi serta keadaan semasa negara yang perlu diberi keutamaan, terutama kelangsungan hidup rakyat.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin mendedahkan masing-masing bersetuju untuk menghentikan tindakan sivil tersebut.

Anwar Ibrahim

“Kami berharap semua pihak menghormati keputusan yang diambil. Kami setuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait perkara ini.

“Kami berharap agar perkara ini tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman negara,” kata kenyataan itu. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here