Gambar arkib MalaysiaGazette

DI era serba digital ini, tidak dapat disangkal bahawa pengaruh filem dan rancangan televisyen memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi dan tingkah laku generasi setiap lapisan masyarakat terutama golongan muda. Sungguhpun pengaruh media sosial sangat hebat, pengaruh filem tidak harus diperkecilkan. Secara umumnya, televisyen masih dianggap sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai. Selain itu, televisyen juga menawarkan program berkualiti tinggi seperti dokumentari dan drama yang menampilkan moral mulia serta aksesibiliti yang luas oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dengan adanya televisyen pintar dan sambungan internet, kandungan televisyen kini boleh diakses melalui pelbagai peranti, termasuk telefon pintar dan komputer riba.

Di negara-negara seperti India, Amerika, China dan Nigeria, televisyen masih merupakan antara media yang berpengaruh dalam kalangan khalayaknya. Namun, dalam kebaikan yang ditawarkan media ini, satu fenomena yang tidak dapat dinafikan sejak awal kemunculan televisyen adalah kesan aksi buli dan ganas yang dipaparkan di layar kaca yang boleh memberi kesan negatif kepada pemikiran dan tindakan remaja. Filem-filem buli sering kali menggambarkan watak-watak yang menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah atau mengatasi konflik. Contohnya, filem High Council yang dibintangi oleh artis terkemuka Malaysia. Dalam plot filem tersebut, penindasan, keganasan pencerobohan dianggap sebagai cara yang sah untuk menunjukkan kuasa dan ketegasan. Ironisnya, apa yang dipaparkan ini sering kali diterjemahkan oleh remaja sebagai contoh tindakan heroik atau watak yang kuat.

Dalam dunia realiti, buli kebiasaannya berlaku di sekolah berasrama. Jarang kita dengar buli berlaku di sekolah bukan asrama, walaupun ada, tetapi tidak banyak. Hal ini kerana pelajar terkurung dan cepat merasa bosan. Tambahan pula, mereka stres dengan pelajaran di sekolah. Untuk melepaskan tekanan itu, mereka terdorong menggunakan kekerasan sebagai hiburan. Selain itu, mereka berada jauh daripada ibu bapa masing-masing, menyebabkan mereka tidak dipantau oleh ibu bapa. Tindakan buli sebenarnya boleh merosakkan mentaliti dan masa depan generasi muda. Apabila remaja terdedah kepada filem-filem yang memaparkan keganasan dan penindasan sebagai sesuatu yang positif, mereka mungkin mendapat gambaran yang salah tentang cara menangani masalah. Mereka mungkin merasakan bahawa menggunakan kekerasan atau
intimidasi adalah cara yang berkesan untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan. Aksi-aksi dalam filem memberi idea tambahan bagaimana kekerasan dan buli boleh dilakukan di dunia nyata.

Apa yang merunsingkan, tindakan buli boleh mengakibatkan kesan psikologi yang serius. Remaja yang menjadi mangsa buli mungkin mengalami tekanan emosi, hilang keyakinan diri, dan kesan buruk terhadap pembangunan sosial mereka, serta mungkin akan menyimpan dendam. Sebuah filem yang dikenali sebagai Mean Girls (2004) adalah filem yang popular dan sering dikaitkan dengan budaya buli dalam kalangan remaja perempuan di sekolah tinggi. Kisahnya, seorang remaja perempuan, Katie (bukan nama sebenar), yang berusia 15 tahun, telah menjadi mangsa buli oleh sekumpulan rakan sekelasnya di sebuah sekolah di Amerika Syarikat. Kumpulan ini, yang terdiri daripada tiga remaja perempuan, sering meniru tingkah laku dan dialog dari filem Mean Girls,yang mereka tonton bersama-sama. Filem ini menggambarkan budaya klik dan dinamika sosial yang melibatkan buli verbal, manipulasi, dan pengasingan sosial. Dalam filem ini, watak Regina George, seorang gadis popular, menggunakan pelbagai taktik untuk mengawal dan membuli rakan-rakannya

Kumpulan pembuli di sekolah Katie mula meniru watak Regina George dengan menghina penampilan Katie, menyebarkan khabar angin serta melakukan pengasingan sosial terhadap Katie. Mereka memastikan Katie terasing daripada aktiviti sosial di sekolah, membuatkan dia berasa terpinggir dan tertekan. Katie mengalami tekanan emosi yang teruk akibat buli ini. Dia mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan, termasuk penurunan prestasi akademik, menarik diri daripada aktiviti sosial, dan kehilangan keyakinan diri. Buli berterusan ini akhirnya memaksa ibu bapa Katie untuk berbincang dengan pihak sekolah, dan mereka juga mendapatkan bantuan profesional
untuk menangani masalah kesihatan mental yang dialami Katie.

Satu lagi contoh kes buli paling teruk yang disebabkan oleh pengaruh filem melibatkan filem A Clockwork Orange (1971), arahan Stanley Kubrick dan melibatkan mangsa Jamie Bulger, seorang kanak-kanak berusia 2 tahun yang berlaku di United Kingdom (UK). Pada 1993, dua remaja lelaki berusia 10 tahun, Robert Thompson dan Jon Venables, menculik dan membunuh Jamie Bulger di Bootle, Merseyside. Kes ini menggemparkan seluruh dunia kerana kekejaman dan umur muda pelaku. A Clockwork Orange ialah filem kontroversial yang menggambarkan keganasan yang dilakukan oleh sekumpulan remaja lelaki. Filem ini terkenal dengan adegan keganasan ekstrem dan sikap tidak berperikemanusiaan watak utamanya, Alex DeLarge. Robert Thompson dan Jon Venables menculik Jamie Bulger dari pusat membeli-belah dan membawanya berjalan sejauh beberapa batu sebelum menyiksa dan membunuhnya. Mereka melakukan pelbagai tindakan kejam yang mencerminkan adegan dalam filem tersebut.

Masyarakat di UK ketika itu mengalami trauma secara kolektif. Kes ini meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengaruh media terhadap remaja. Ia juga menjadi perbahasan awam mengenai pengaruh filem dan media keganasan terhadap tingkah laku remaja. Ia membawa kepada perbincangan tentang kawalan kandungan media dan tanggungjawab ibu bapa serta masyarakat dalam memantau akses remaja kepada kandungan yang tidak sesuai. Selepas kes ini, terdapat peningkatan dalam usaha untuk mengawal akses kepada filem-filem yang mengandungi keganasan ekstrem. Ini termasuk langkah-langkah penapisan yang lebihketat dan penilaian umur yang lebih jelas. Mengambil iktibar daripada kes-kes ini, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan untuk melindungi generasi muda daripada kesan negatif filem buli. Kesedaran dan
pendidikan kepada ahli masyarakat amat penting sebagai langkah jangka panjang dalam menangani masalah psikologi yang berlaku kerana kesan buli. Pendidikan media dan program anti buli di peringkat institusi pendidikan juga perlu diperkukuh bagi mengurangkan kesan daripada filem buli dan fenomena buli keseluruhannya.

Dr Siti Suriani Othman
Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti
Sains Islam Malaysia &

Mohammad Amir Hakim Mohd Nasir
Pelajar Sarjana Muda Pelancongan dengan Pengurusan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia