Zainal Abas merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) komited menyasarkan lebih lima juta murid yang sihat dengan memastikan pengambilan nutrisi seimbang selain kecemerlangan akademik.

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Sekolah) KPM, Zainal Abas berkata, langkah berkenaan perlu dipupuk awal dengan memastikan pelajar mengamalkan pemakanan yang sihat.

Zainal Abas

Ia bagi menghindari anak-anak menjadi obes atau pun terbantut dalam proses pertumbuhan semasa usia muda ketika di bangku sekolah.

”KKM telah mengeluarkan beberapa data mengenai kadar obesiti di negara kita ada data mengenai kadar murid yang terbantut yang rapat degan pemakanan yang sihat, (jadi) tempoh di sekolah ini kritikal daripada segi pembangunan murid itu.

”Kita mahu murid sedar kadar pemakanan perlu kepada kadar keperluan tenaga dan kumpulan pemakanan yang betul yang perlu diambil.

”Kalau kita lihat dari piramid makanan pemilihan makanan yang betul dari segi kumpulan makanan akan dapat memastikan dan membantu pertumbuhan serta memenuhi tenaga mereka dalam sehari supaya mereka tidak mengmbil makan secara berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek dan Timbalan Pengarah Bahagian Pemakanan KKM, Zaiton Daud.

Ujar Zainal, budaya pemakanan yang sihat sekali gus dapat mengelak daripada terkena  penyakit berjangkit dan penyakit berisiko tinggi lain.

”Kalau tak cukup makan akan bantut, ada murid dari segi mulnutrisinya kurang. Kita ada lima juta pelajar kita harap kesemua ada pelajar yang sihat.

”Kita tahu penyakit-penyakit tidak berjangkit, darah tinggi, kencing manis merupakan penyakit boleh dikawal melalui amalan pemakanan sihat, itu yang cuba kita terapkan bagi memabntu KKM memastikan masyarat kita terhindar daripada penyakit ini.

”Kita nak mendidik masyarakat dari awal di bangku persekolahan supaya di masa akan datang penyakit akan dihindari, kalau dewasa baru nak diterap, sudah terlambat,” katanya.

Zainal turut menepis dakwaan penyediaan pemakanan sihat memerlukan kos yang lebih tinggi sebaliknya pelaksanaannya dapat menjimatkan bahan seperti penjimatan minyak masak, garam dan sebagainya dalam sesuatu masakan. – MalaysiaGazette