SIBEC 2014 akan berlangsung 2 September depan.

KUALA LUMPUR – Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 anjuran kerajaan negeri Sabah bakal menjadi medan kepada lebih 2,000 pihak berkepentingan dalam meneroka prospek ekonomi khazanah laut.

Menurut laman rasmi portal SIBEC 2024, ekonomi biru merupakan satu cetusan idea kerajaan negeri diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi inisiatif baharu dalam mempertingkatkan ekonomi rakyat serta hasil negeri itu sendiri melalui khazanah laut.

Difahamkan, ekonomi biru terdiri daripada empat komponen utama iaitu penuaian sumber hidup (makanan laut dan bioteknologi marin), pengekstrakan sumber bukan hidup, penjanaan sumber baharu (mineral, tenaga dan air tawar), komersil dan perdagangan dalam dan sekitar lautan.

Selain itu juga, turut tersenarai ialah pengangkutan dan perdagangan; pelancongan dan rekreasi; serta tindak balas terhadap cabaran kesihatan lautan pemantauan, pengawasan lautan, penyerapan karbon, perlindungan pantai dan pelupusan sisa.

Sebanyak 14 industri dalam empat komponen utama antaranya akuakultur, perikanan, farmaseutikal, kimia, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, perkapalan, karbon biru dan perlindungan serta pemulihan habitat.

Kata SIBEC, pastinya pelbagai peluang keemasan selain maklumat, bertukar pandangan dan juga pemahamaan yang akan dikongsikan ketika berlangsungnya persidangan mega itu dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa dalam meneroka khazanah laut ini.

Antara nama-nama besar yang sudah rasmi menjadi rakan strategik dan organisasi sokongan bagi SIBEC 2024 termasuklah Invest Sabah Sdn Bhd, Lembaga Pelabuhan Sabah, Sawit Kinabalu Sdn Bhd, Qhazanah Sabah Berhad, Sabah Electricity Sdn Bhd, PETRONAS, The Asia Foundation – Malaysia, Sabah Credit Corporation Bhd dan POIC Sdn Bhd, SEDCO, SEDIA, Sabah Energy Sdn Bhd, KKIP Sdn Bhd serta banyak lagi.

Persidangan ini yang bertemakan ‘Synergy Innovation and Blue Economy Conservation’ dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 2 hingga September depan.

SIBEC 2024 adalah susulan SMJ EKOB 2023 Synédrio SMJ bertemakan “Beyond Limits, Unleashing Economy” pada 14 Disember tahun lalu yang menyaksikan penceramah antarabangsa berkongsi kepakaran mereka dalam konsep ekonomi biru selaras dengan saranan oleh Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu.

Sebarang maklumat, boleh layari www.blueeconomy.sabah.gov.my – MalaysiaGazette