KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dengan mencabar keputusan Peguam Negara yang menghentikan perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid dikaitkan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang diasasnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh berkata, permohonan semakan kehakiman oleh Badan Peguam itu bukan sesuatu yang ada dalam peruntukan untuk diputuskan oleh mahkamah itu selain memulakan prosiding bagi tujuan tersebut.
Selain itu, Amarjeet juga memerintahkan Badan Peguam untuk membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Peguam Negara.
Pada 2 Disember tahun lepas, Badan Peguam menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden memohon keputusan DNAA pada September 2023 terhadap Presiden UMNO itu dibatalkan.
Sebelum itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri selepas pendakwaan memberitahu Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding.
SEbelum prosiding itu dihentikan, Ahmad Zahid pernah memohon representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan. – MalaysiaGazette