Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 14 JUN 2024

PUTRAJAYA – Polis diminta melakukan siasatan rapi ke atas kes melibatkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak autism, Allahyarham Zayn Rayyan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan arahan itu faham keresahan rakyat berhubung kezaliman yang dilakukan tetapi siasatan kes perlu dilakukan melalui proses yang betul tanpa mengikut persepsi atau tafsiran hukum sendiri.

“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak OKU. Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia. Saya juga nak tahu mengapalah sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak.

“Kalau saya, saya nak polis jawab esok tapi proses kena lalui. Kita tak peduli siapa tapi saya faham rakyat juga rasa resah.

“Tapi, apa yang saya boleh buat dengan Menteri Dalam Negeri iaitu mengarahkan menyegerakan siasatan rapi. Jangan persepsi, hanya fikir mungkin orang ini salah, ikut tafsiran hukum. Ini tak boleh (berlaku),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam merungkai kes berkenaan, beliau pernah memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain supaya menyegerakan siasatan tanpa sebarang campur tangan.

“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang menghukum terus, kata kita melindungi, apa yang melindungi?

“Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan, kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini.

“Tetapi saya kata cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya kata,” katanya.

Semalam, Faisal Halim muncul kali pertama di khalayak mahu individu yang menyimbah asid sulfurik pekat ke badannya diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

Pada masa sama, kes pembunuhun Zayn Rayyan menjadi tumpuan ramai yang ditemukan mati di Damansara Damai, Selangor Disember tahun lalu.

Ibu dan bapa Zayn Rayyan semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya. – MalaysiaGazette