Penduduk Palestin meninggalkan Rafah di selatan Semenanjung Gaza berikutan arahan pemindahan oleh tentera Israel, tiba ke Khan Yunis pada 6 Mei 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan pergerakan Hamas Palestin. Foto AFP
MINGGU ini Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi menyokong perjanjian gencatan senjata yang diumum oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada 31 Mei 2024 yang lalu.

Resolusi ini diluluskan dengan undian 14 menyokong, 1 berkecuali dan tiada yang membangkang.

Ironinya, resolusi ini telah ditaja oleh AS sendiri; negara yang sebelum ini telah memveto semua draf resolusi yang menuntut perang dihentikan sejak Oktober 2023. Apa yang menyebabkan AS tiba-tiba “insaf” dan mahu peperangan dihentikan?

Sebelum ini hatta perkataan ‘gencatan senjata’ pun tak boleh digunakan. Hari ini dengan tak semena-mena mereka bukan sahaja mencadangkan sebuah pelan gencatan senjata yang komprehensif, bahkan menaja resolusi di UNSC untuk memastikan pelan tersebut mendapat mandat yang kukuh daripada PBB.

Dalam teks resolusi yang diluluskan, AS malangnya terus menipu penduduk dunia dengan menyebut pelan gencatan tersebut telah diterima oleh Israel sedangkan liputan akhbar di Israel jelas menunjukkan penentangan terhadap pelan yang Biden bentangkan.

Netanyahu selar pelan tersebut sebagai ‘tidak lengkap’ dan ‘tidak mewakili hasrat sebenar’ mereka. Netanyahu tegaskan yang Israel tidak akan menghentikan peperangan sehinggalah Hamas berjaya dihapuskan.

Ben Gvir, Menteri Keselamatan Dalam Negeri mengancam akan menarik sokongan kepada kerajaan Netanyahu sekiranya beliau menghentikan perang. Beliau mengecam gencatan senjata sebagai hadiah kepada pengganas.

Justeru, tidak hairanlah Rusia memilih untuk berkecuali dalam undian resolusi ini. Rusia mempersoalkan tindakan AS mendesak dunia untuk mengenakan tekanan terhadap Hamas supaya menerima pelan ini walhal pemimpin Israel yang menolaknya secara terang-terangan. Tindakan itu ibarat menyalak di pohon yang salah.

Hamas walau bagaimanapun menyambut baik pengumuman Biden. Jika diperhatikan, pelan gencatan senjata yang Biden bentangkan sebenarnya tidak jauh beza dengan pelan yang telah pun Hamas terima dan setuju pada 6 Mei lalu.

Pelan tersebut memenuhi banyak tuntutan Hamas khususnya berhubung pengunduran penuh tentera Israel, kebenaran penduduk Gaza untuk pulang ke utara, kemasukan bantuan kemanusiaan, pertukaran tawanan dan pembangunan semula Gaza.

Ketika Hamas sudah pun menerima pelan yang hampir sama tempoh hari, Netanyahu menolak dan bertindak melancarkan operasi ketenteraan ke atas Rafah; operasi yang disifatkan sebagai garis merah oleh Biden. Justeru, yang menjadi batu penghalang kepada pelan gencatan senjata ini sebenarnya adalah Israel; bukannya Hamas.

Terbaharu, Hamas dan Jihad Islami buat pertama kali telah mengeluarkan kenyataan bersama dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan supaya pelan tersebut dapat diperincikan dan dimuktamadkan. Mereka turut membuat beberapa permintaan tambahan untuk dirundingkan.

Malangya, Setiausaha Luar AS, Antony Blinken serta-merta menolak permintaan tersebut sebelum berbincang sekalipun dengan Israel. Sebagai orang tengah, Blinken sepatutnya perlu membawa permintaan tersebut ke perhatian Israel untuk dibincang dan diputuskan; bukannya membuat keputusan bagi pihak Israel.

Penolakan ini memberi gambaran seolah-olah semua ini hanyalah helah pentadbiran Biden untuk mengalih kesalahan daripada Israel kepada Hamas. Ia untuk membina naratif bahawa AS dan Israel telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan tawaran yang terbaik kepada Hamas tetapi kumpulan itu yang menolaknya.

Ini wayang sama yang telah dimainkan oleh Israel sejak Perjanjian Oslo 31 tahun yang lalu. Ayat klise Zionis: “Kami tawarkan Palestin perdamaian tapi mereka yang tolak!” Walhal merekalah yang mensabotaj setiap perjanjian tersebut dengan mengubah tiang gol setiap kali persetujuan berjaya dicapai oleh jururunding.

Tidak dinafikan pelan yang ditawarkan sangat baik. Bahkan, tak keterlaluan untuk kita katakan ia adalah satu kemenangan di pihak Hamas dan rakyat Palestin. Namun, masalah utamanya ialah siapakah yang boleh menjamin Israel akan mematuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui?

Ketika ini Washington tidak berjaya menunjukkan ia mampu mengawal dan memberi tekanan kepada Netanyahu. Segala tindakannya setakat ini termasuk membina jeti sementara dan menjatuhkan bantuan dari udara menunjukkan Rumah Putih tunduk kepada rancangan perang Israel. Garis merah yang Biden tetapkan mereka langgar. Ancaman sekatan ke atas bekalan bom juga langsung tidak merencatkan operasi ketenteraan mereka di Rafah.

Biden hampir pasti mahu Hamas menerima tawaran ini. Jika beliau berjaya laksanakan walau sekadar fasa pertama pelan ini, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh beliau banggakan ketika Netanyahu hadir berucap di Kongres AS 24 Julai nanti. Tambahan, ini modal terbaik untuk meraih semula undi komuniti Muslim di AS menjelang Pilihan Raya Presiden November ini.

Jika Hamas menolak, Biden masih ada alasan bahawa beliau telah mencuba sedaya upaya. Dan Israel boleh terus mengebom Gaza semahunya.

Khalid Jimat, Ketua Pegawai Penyelidik, Palestine Centre of Excellence (PACE).