Sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari atas pertuduhan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) keseluruhan berjumlah lebih RM100,000 sejak Disember tahun lalu.

MELAKA – Sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka di sini hari atas pertuduhan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) sejak Disember tahun lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh adalah P Rishitharan, 26, Mazly Sulaiman, 34, Mohamad Rapi Mohammad, 31, Muhd Ashwad Zaharuddin, 28, Pan Wei Loong, 28, Mohd Shah Maibat, 32, Kadir Masri, 24 dan Abell Njok Richard, 30, dan Muhammad Farhan Anuar Shah Abdullah, 25,

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati dengan niat curang mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di tepi jalan diĀ  tujuh lokasi berbeza dalam daerah Melaka Tengah kesemuanya dianggarkan bernilai RM105,600.

Perbuatan itu yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Sesyen 34 kanun sama didakwa dilakukan pada waktu awal pagi antara 22 Disember 2023 hingga 23 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dipenjara dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh turut berdepan dakwaan kes lain namun mencadangkan tidak kurang RM10,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan kepada Kadir selepas semakan pendakwaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada sebarang rekod nama dan alamat tertuduh.

Sementara itu dalam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Muhd Ashwad, dan Wei Loong dan Mohd Shah didapati gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pegawai polis untuk pemeriksaan.

Kesalahan itu dilakukan di No 309, Jalan Tulip A Famosa dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 12.23 malam pada 25 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Terdahulu, semua tertuduh dalam rayuan masing-masing memohon jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung ibu, bapa, anak dan isteri serta serta ahli keluarga yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh bagi dakwaan curi kabel diikat jamin antara RM3,000 dan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Manakala bagi kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan, masing-masing tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,000.

Kes untuk semua pertuduhan akan disebut semula 7 Ogos ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette