Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan penarikan subsidi dengan mendakwa ia demi membiayai kroni-kroni kerajaan.

Beliau mendakwa, antara contoh pembiayaan kroni yang dilakukan kerajaan adalah mencadangkan kontraktor khusus bagi projek Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor.

“Jelasnya, sebelum ini kerajaan menjanjikan untuk membuat tender terbuka namun kini Pejabat Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan kontraktor bagi projek pembinaan hospital
ratusan juta.

“Kontraktor yang dicadangkan ini pula dikenakan tindakan tatatertib oleh CIDB. Persoalannya, mengapa Pejabat Perdana Menteri perlu campur tangan dalam tender ratusan juta dan sehingga kini tiada sebarang penafian mengenai surat yang
sedang tular di media sosial,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan bermula pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Beliau berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Tambah beliau, lantikan kampung yang memerlukan pembayaran perjawatan berpunca daripada pergaduhan di antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) mengenainya.

Ujar beliau, berikutan itu terdapat lebih 1,000 jawatan baharu ketua kampung menerusi Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM).

Malah katanya, terdapat dua ketua kampung dalam satu kampung seperti yang berlaku di Selangor dan Sabah.

“UMNO-PH bergaduh soal lantikan ratusan ketua kampung tapi rakyat pula yang terpaksa menanggung akibatnya,” ujarnya.

Selain itu Syed Saddiq mendakwa, tindakan kerajaan mewujudkan 200 jawatan baru cybertroopers dan peralat pegawai-pegawai kementerian turut dilihat sebagai pembaziran yang tidak munasabah.

“Ini adalah penjawat awam yang sepatutnya menjalankan tugas hakiki mereka, tetapi kini terpaksa melakukan kerja lain.

“Apa guna belanja puluhan juta (ringgit) untuk Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), kini kementerian pula ingin menambah ratusan cybertroopers. Ini adalah pembaziran tenaga dan masa,” ujarnya. – MalaysiaGazette