Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat siasatan yang dibocorkan berkaitan kes Zayn Rayyan kepada umum.

SKMM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram untuk penurunan kandungan terbabit.

“Penyebaran dakwaan maklumat siasatan kes tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes.

“SKMM memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu. Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk memadam hantaran atau sebarang komen yang boleh menimbulkan spekulasi,” katanya.

Menurut agensi itu lagi, berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tegasnya, sabit kesalahan pelaku boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, serta denda lanjutan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitan.

Kelmarin, media melaporkan Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama SKMM berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan, 6, di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Katanya, penyebaran maklumat yang tidak sahih itu boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.

Berikutan itu, pihaknya akan berhubung dengan SKMM untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan termasuk menurunkan kandungan berkenaan yang dikesan dimuat naik di satu akaun di Telegram, kelmarin. – MalaysiaGazette