Halim Saad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong Bhd., Tan Sri Halim Saad merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan saman dikemukakan beliau terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua individu lain.

Ia berkaitan dakwaan kerugian yang ditanggung beliau selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya di dalam Renong.

MalaysiaGazette difahamkan, Halim sudah memfailkan rayuan Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Surendra Ananth dengan menamakan Dr Mahathir dan dua lagi responden ialah bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia.

Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes rayuan berkenaan pada 9 September ini melalui prosiding yang akan dijalankan secara e-Review.

Pada 14 Mei lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad telah membenarkan permohonan ketiga-tiga pemohon membatalkan saman dikemukakan tokoh korporat berkenaan.

Ketika membacakan keputusan, Suzana mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelumnya terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada 2013 membabitkan isu sama sudah diputuskan mahkamah.

Kata Suzana, permohonan semula antara pihak sama apabila mahkamah sudah memutuskan dengan merit tidak terpakai.

Berdasarkan pernyataan tuntutan dan writ saman difailkan pada 2 Ogos tahun lepas, Halim mendakwa beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Beliau mendakwa diarahkan Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah.

Halim mendakwa Khazanah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Ketika itu beliau memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.

Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan pula menafikan mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

“Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003,” kata mereka. -MalaysiaGazette